Pengenalan
- Sesak nafas adalah keadaan di mana seseorang itu mengalami kesukaran bernafas atau semput dan biasanya keadaan ini lebih ketara semasa melakukan aktiviti fizikal.
- Sesak nafas boleh berlaku secara akut dan kronik :
- Sesak nafas akut adalah gejala datang secara tiba-tiba dan hilang dalam jangkamasa beberapa hari setelah rawatan .
- Sesak nafas kronik adalah keadaan di mana sesak nafas berlaku secara berterusan dalam jangkawaktu yang lama.
- Sesak nafas adalah gejala yang perlu diberi perhatian kerana ia mungkin memberi petanda seseorang itu mengalami penyakit sistem pernafasan atau sistem kardiovaskular.
- Penyakit sistem pernafasan yang biasa berlaku sesak nafas adalah asma, jangkitan paru-paru akut (pneumonia), jangkitan paru-paru kronik seperti tibi, paru-paru berair (pulmonary oedema), penyakit obstruktif saluran pernafasan kronik (Chronic Obstructive Airways Disease) dan kanser paru-paru.
- Penyakit kardiovaskular yang boleh menyebabkan sesak nafas adalah kegagalan jantung, serangan jantung dan kelainan denyutan jantung (cardiac arrhythmias).
- Keadaan lain yang boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah sesak nafas adalah kekurangan darah merah (anaemia), alahan , resdung, kegelisahan (Anxiety Disorders) dan kegemukan.
Gejala / Tanda Sesak Nafas
- Jika anda mengalami sesak nafas secara tiba-tiba disertai sakit atau ketat dada, kemungkinan anda mengalami serangan jantung, pneumothorax (udara berada antara paru-paru dan dinding dada) atau pulmonary embolism (darah beku dari bahagian kaki telah bergerak ke paru-paru ) .
- Jika anda mengalami sesak nafas mengikut episod disertai oleh bunyi seperti wisel (wheezing) atau batuk, anda mungkin menghidapi serangan asma atau jangkitan yang menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit.
- Jika anda mengalami sesak nafas yang berterusan dan semakin teruk disertai dengan sejarah pendedahan kepada asap rokok, habuk dan semburan bahan kimia anda mungkin menghidapi penyakit saluran pernafasan obstruktif kronik (COPD).
- Jika anda pernah bekerja di tempat yang mendedahkan anda kepada asbestos, habuk kayu, semburan bahan kimia, anda mungkin menghidapi penyakit paru-paru berkaitan pekerjaan (Occupational Lung Diseases).
- Jika kaki anda bengkak dan mengalami sesak nafas semasa baring mendatar, anda mungkin mengalami kegagalan jantung (heart failure).
- Jika anda cepat berasa letih, kelihatan pucat dan sesak nafas terutamanya bila melakukan aktiviti fizikal, anda mungkin mengalami anaemia.
- Jika anda bernafas dengan cepat disertai dengan rasa pening atau berasa kebas pada tangan atau sekitar mulut, anda mungkin mengalami hyperventilation (bernafas keterlaluan biasanya disebabkan oleh aktiviti fizikal yang berlebihan dan tekanan emosi).
- Jika anda sesak nafas disertai demam, batuk atau batuk darah dan kehilangan berat badan,anda mungkin menghidapi jangkitan seperti tibi atau kanser paru-paru atau pulmonary embolism.
- Jika anda demam, disertai hingus berair dan batuk berkahak anda mungkin mengalami jangkitan saluran pernafasan (bronchitis) atau jangkitan paru-paru (pneumonia).
Tindakan Kendiri
- Sila pergi ke Jabatan kecemasan hospital atau klinik kesihatan dengan atau hubungi perkhidmatan ambulan dengan serta-merta, sekiranya anda mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan disertai oleh sakit atau ketat dada, serangan asma teruk, bibir dan jari anda menjadi biru dan rasa seperti hendak pengsan.
- Sila berjumpa doktor dengan segera sekiranya anda mengalami sesak nafas hanya dengan melakukan aktiviti fizikal rengan, sesak nafas semasa baring dan perlu bersandar dengan beberapa bantal untuk melegakannya, nafas berbunyi, sesak nafas disertai demam dan batuk.
- Jika anda mengalami sesak nafas yang berterusan kerana menghidapi penyakit paru-paru kronik, anda digalakkan untuk berhenti merokok, lakukan senaman secara berkala mengikut kemampuan fizikal anda, elakkan dari terdedah kepada udara tercemar dan bahan alahan dan berterusan mengambil ubat-ubatan yang dibekal oleh doktor mengikut arahan.
Diagnosa / Rawatan Sesak Nafas
- Doktor akan menemuduga anda, membuat pemeriksaan fizikal dan melakukan ujian tertentu bagi mengenal pasti penyakit anda.
- Antara ujian yang mungkin dilakukan oleh doktor adalah X-Ray dada, electrocardiogram (ECG), ujian fungsi paru-paru (PEAK FLOW METER / SPIROMETER), pemeriksaan darah dan kahak.
- Rawatan yang diberi adalah khusus untuk penyakit yang menyebabkan gejala sesak nafas tersebut.